Kamis, 01 Agustus 2013
SEJARAH PERKEMBANGAN SENI KHAT ARAB
SEJARAH PERKEMBANGAN SENI KHAT ARAB
Seni khat lahir serentak dengan kelahiran Islam. Wahyu yang diterima oleh Rasulullah S.A.W. sejak awal lagi telah dicatatkan oleh para sahabat pada daun kayu, tulang dan sebagainya sehinggalah Al-Quran itu sempurna diturunkan selama 23 tahun. Ini bererti seni khat diperlukan untuk mengabadikan Al-Quran dalam bentuk penulisan. Justeru itu, peranan seni khat dalam sejarah perkembangan Islam adalah yang paling utama dan mengatasi cabang seni yang lain (Noraini 2009).
Islam datang dengan membawa beberapa faktor tentang betapa perlunya penggunaan tulisan yang semakin bertambah luas ruang penggunaannya. Bidang penulisan telah memasuki era baru yang bergemerlapan dengan kedatangan Islam. Selepas penghijrahan Nabi ke Madinah, seni khat telah menjadi manifestasi bagi suatu perubahan yang agung yang mengatasi perkembangannya selama tiga abad sebelum itu. Dengan turunnya lima ayat pertama kepada Nabi s.a.w yang dimulai dengan firman Allah s.w.t.: Iqra’ ( bacalah ),maka penulisan telah memperoleh kepentingan suci yang sehingga kini masih kukuh terpelihara Kemudian turun pula ayat-ayat lain yang sering mengaitkan penulisan dengan sumber ketuhanan dan memerintahkan penggunaannya sehinggalah tulisan mendapat kedudukannya dalam kehidupan umat Islam sebagai salah satu keperluan asas (Mohd Bakhir 2007).
Nabi memerintahkan para sahabat merakam maklumat-maklumat dengan tulisan dan mewasiatkan mereka memelihara tulisan tersebut. Baginda juga menggesa supaya mengajar anak-anak mereka membaca dan menulis. Mengarah tawanan Perang Badar supaya mengajar anak-anak Ansar membaca dan menulis sebagai bayaran tebusan sdiri mereka. Baginda sendiri mengendalikan urusan kelab latihan tulis-menulis di Madinah dengan tujuk ajar dari individu-individu dan sahabat-sahabat yang telah mahir dalam kemahiran menulis. Hasilnya, wujud dikalangan mereka orang yang mahir dalam banyak bahasa seperti Zaid bin Thabit yang mempelajari bahasa Parsi, Rom, Qibti dan Habsyah semasa di Madinah. Beliau juga menterjemah surat-surat balasan kepada Rasulullah s.a.w yang ditulis dalam bahasa-bahasa tersebut (Mohd Bakhir 2007).
Sesetengah daripada mereka diperintahkan menulis dalam beberapa lapangan dan tajuk-tajuk tertentu seperti menulis perjanjian dan surat-surat yang diutuskan oleh Nabi kepada raja-raja dan lain-lain lagi. Selain itu, Baginda juga menekankan tentang soal sifat bentuk huruf-huruf yang berbagai-bagai itu. Memberi perhatian khusus kepada huruf-huruf ini adalah asal-usul khat. Perbezaan bentuk huruf-huruf, misalnya antara sin dan shin yang dirujuk oleh Rasulullah s.a.w dengan segera mengilhamkan para penulis khat berusaha melahirkan nilai-nilai khas kepada huruf-huruf dalam bahasa arab. Pada zaman Rasulullah SAW antara penulis khat adalah seperti Ali Bin Abi Talib, Uthman Bin Affan, Umar Al-Khattab, Abu Bakar al-Siddiq, Khalid Bin Said Bin Al-As, Hanzalah Bin Rabi`, Yazid Bin Abi Sufian, Muawiyah Bin Abi Sufian, Ubai Bin Ka`ab, Zaid Bin Tsabit dan ramai lagi
Setelah itu kewafatan Nabi S.A.W, seni penulisan khat ini tidak terhenti sebegitu sahaja akan tetapi ianya semakin berkembang di setiap zaman bermula dari zaman Khulafa’ al-Rasyidin, zaman Umawiyyah dan Abbasiyyah, zaman Islam di Mughal, Andalus dan lain-lain lagi. Pada awal tertubuhnya kerajaan Umaiyah, tulisan kaligrafi digunakan untuk keperluan administrasi negara. Pada perkembangan selanjutnya, tulisan ini terus diabadikan di dinding-dinding bangunan istana, kubah-kubah masjid, diukir di mimbar-mimbar dan beberapa tempat yang lain. Peralatan peperangan seperti pedang dan lembing serta barangan seramik juga tidak terlepas dari lakaran kaligrafi indah ini (Ensiklopedia Islam Untuk Pelajar,Jilid 5.2001).
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar